Bot karam, dua lelaki dikhuatiri lemas

Bot karam, dua lelaki dikhuatiri lemas

Kudat: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki dipercayai karam di perairan laut Perapat Tugu Mamal, di sini, petang tadi.

Dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Aewaeinder dan Macklin berusia 20 dan 28 tahun.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan terdapat sebuah bot karam ketika melakukan aktiviti memukat di laut, jam 6.04 petang.

Katanya, pemanggil memaklumkan terdapat dua mangsa yang dikhuatiri lemas.

“Enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikerah ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah ‘surface rescue’.

“Sehingga jam 11 malam tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi SAR ditangguh dan akan disambung pagi esok.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|