Lelaki bawa 47 warga asing cuba sogok anggota PGA ditahan

Lelaki bawa 47 warga asing cuba sogok anggota PGA ditahan

Kalabakan: Seorang lelaki dipercayai ketua rombongan membabitkan tujuh kenderaan yang membawa puluhan warga asing ditahan selepas cuba memberi sogokan kepada petugas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 52 tahun terbabit dikatakan cuba memberikan wang sebanyak RM1,650 dipercayai sebagai dorongan untuk pihak berkuasa melepaskan mereka.

Kenderaan yang dinaiki warga asing ditahan ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan.

Bagaimanapun, selepas beberapa amaran diberikan, lelaki warga tempatan yang bertegas dengan sogokan berkenaan terus ditahan oleh petugas anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau dan RELA untuk tindakan selanjutnya.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil siasatan awal, rombongan berkenaan disertai keseluruhan 53 penumpang dan pemandu berusia empat hingga 80 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati seramai 26 individu tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah, 21 lagi memiliki passport manakala enam memiliki kad pengenalan diri yang sah.

“Hasil soal siasat mendapati, semua individu terbabit ini bekerja di sebuah ladang getah dan kontrak mereka telah tamat.

“Semua suspek dipercayai bergerak dari Kuala Penyu menghala ke Tawau mengikut jalan Sapulut-Kalabakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis turut melakukan rampasan terhadap tujuh kenderaan berkenaan dan wang sogokan yang dianggarkan bernilai RM487,650.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|