Bot karam: Bapa selamat, anak masih hilang

Bot karam: Bapa selamat, anak masih hilang

Semporna: Seorang lelaki berusia 22 tahun hilang selepas bot dinaiki bersama bapanya karam di perairan Bohey Dulang, di sini, sejak Jumaat lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Sulaiman Johor dilaporkan keluar memancing bapanya yang berusia 66 tahun di perairan berkenaan.

Pasukan bomba menjalankan operasi SAR di sekitar perairan Bohey Dulang, Semporna.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan balik, bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum keadaan angin kencang menyebabkannya karam.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berhubung kejadian itu.

Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota bersama Bot Kevlar terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Mengikut maklumat diterima, bapa mangsa sempat berpaut pada serpihan bot sebelum berjaya diselamatkan oleh penduduk Kampung Tarapuli, di sini.

“Manakala mangsa pula sehingga kini masih belum dapat ditemui,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, bapa mangsa membuat laporan di IPD Semporna pada jam 12.13 tengah malam dan pasukan Bomba terus bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|