Bot karam, 11 penumpang dan juragan bot diselamatkan

Bot karam, 11 penumpang dan juragan bot diselamatkan

Semporna: Seramai 11 individu termasuk seorang kanak-kanak dan seorang juragan berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam akibat terlanggar kayu terapung di perairan Pulau Mantabuan, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, semua mangsa berusia 3 hingga 79 tahun terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari negara jiran ke daerah Semporna.

Bot yang dinaiki semua mangsa karam selepas terlanggar kayu terapung ketika dalam perjalanan dari negara jiran ke daerah Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman daripada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.14 malam.

Katanya, mangsa bot karam berkenaan adalah membabitkan tujuh rakyat tempatan dan lima warga asing.

“Siasatan mendapati bot yang dinaiki sembilan lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak itu karam selepas mengalami kebocoran akibat terlanggar kayu terapung.

“Difahamkan, juragan dan penumpang sempat bertindak mengikat tong minyak kosong di bot berkenaan bagi mengelak daripada tenggelam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, juragan bot berkenaan kemudiannya terpaksa berenang ke arah Pulau Mantabuan selama enam jam untuk meminta bantuan pihak berkuasa yang berada di pulau berkenaan.

Katanya, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di pulau itu segera bertindak menyelamatkan semua mangsa terlibat.

“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, juragan dan empat warga asing terbabit ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan supaya juragan bot sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku sehingga membahayakan keselamatan penumpang bot.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|