Kota Kinabalu: Sebuah bengkel membaiki kenderaan terbakar dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini, petang ini.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu turut terbakar beberapa kenderaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, jam 4.08 petang.
Katanya, seramai 21 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama jentera dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah bengkel kenderaan separuh kekal yang terbakar 60 peratus.
“Pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dan empat pancutan dengan sumber air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal jam 4.38 petang.
-Deasoka