BN Sabah siap sedia hadapi perubahan iklim politik – Raime

BN Sabah siap sedia hadapi perubahan iklim politik – Raime

Kota Kinabalu: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Sabah diminta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan perubahan ‘iklim politik’ negara yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, jangkaan perubahan itu dilihat selepas memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang (PH) telah melabuhkan tirai pada 31 Julai lalu.

Menurutnya, meskipun ramai pemimpin-pemimpin parti politik telah menyarankan kesemua ahli dan akar umbi untuk bertenang, namun bagi BN Sabah mendapatkan pendekatan tuntas adalah perlu dalam kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berlaku lebih awal.

“Ya, meskipun belum ada apa-apa lagi ‘signal’ rasmi mengenai pembubaran, tarikh PRU dan sebagainya, bagi kita BN Sabah perlulah bersiap siaga dalam menghadapi segala kemungkinan pada beberapa minggu, bulan mendatang.

“Sejurus tamatnya MoU antara kerajaan dan PH, makanya secara tidak langsung kita sedang menuju ke arah PRU-15 di mana tempoh pembubaran juga boleh berlaku bila-bila masa sahaja dari sekarang,” katanya.

Jelas beliau, meskipun terdapat kritikan terhadap BN, bagi Raime, hanya parti itu sahaja dilihat mampu menterjemahkan kestabilan politik, ekonomi dan sosiol di negara ini.

“Trek rekod BN selaku pentadbir negara tidak boleh dipertikaikan dengan kelangsungan politik dan ekonomi yang kini amat mendahagakan kestabilan serta kemakmuran.

“BN Sabah sehubungan itu perlu menyedari hakikat ini dengan kesemua pucuk pimpinan,ahli, akar umbi dan penyokong harus meningkatkan ukhuwah serta ikatan perpaduan untuk sama melengkapi bagi berhadapan cabaran PRU-15, “katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|