780 murid kurang mampu terima bantuan persekolahan

780 murid kurang mampu terima bantuan persekolahan

Sandakan: Seramai 780 murid daripada keluarga kurang berkemampuan, menerima bantuan persekolahan pada program bantuan awal persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila, di sini, pagi tadi.

Mereka terdiri daripada 156 murid tahun satu menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP), 574 orang murid lagi menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan 50 orang murid lagi turut menerima bantuan e-Kasih.

Suhaimi, Mokran, PPD Sandakan Dr Dalmansah Hj Tahil dan Guru Besar SK Sungai Manila, Zaini Osman bersama ibu bapa dan murid.

Sekolah berkenaan juga menerima 159 unit beg komputer dan 11 unit pakaian seragam ko kurikulum. Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan itu berjumlah RM 86,300.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Haji Suhaimi Haji Nasir berkata pemberian bantuan itu membuktikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat menitikberatkan kepentingan pendidikan anak-anak.

Suhaimi memotong kek sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan oleh Mokran, Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan Dr Dalmansah Hj Tahil dan Guru Besar SK Sungai Manila, Zaini Osman.

“Kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan kualiti pendidikan akan diberi keutamaan dan inisiatif seperti turut menunjukan keprihatinan kerajaan memastikan pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

“Kita faham akan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dan penjaga setiap kali persekolahan bermula dalam memastikan keselesaan dan keperluan anak-anak terjaga adalah penting bagi melahirkan generasi yang cemerlang dan berilmu pada hari ini dan masa depan,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan awal persekolahan, beg komputer dan bantuan pakaian seragam ko kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila di dewan terbuka sekolah berkenaan, pagi tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berasa bangga melihat kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memberangsangkan hari ini sebagai menunjukan rakyat di Libaran amat menghargai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

“Senario ini juga mengambarkan keprihatinan ibu bapa dan penjaga terhadap pembelajaran anak-anak mereka.

“Saya ingin menyeru kepada ibu bapa dan penjaga sekolah ini supaya mengambil inisiatif mengenali sekolah ini dengan lebih dekat, memberi sumbangan baik dari segi material atau khidmat bakti untuk melengkapi kekurangan yang terdapat di sini serta memberi kerjasama dalam mendidik dan mendisiplinkan anak mereka,” katanya.

Suhaimi berharap banyak jalinan kerjasama antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat dilakukan bagi memastikan penambahbaikan anak-anak di sekolah ini.

“Begitu juga jalinan kerajasama dengan pemimpin setempat dalam DUN Sungai Manila ini , kita ada YB Mokran Ingkat. Kita mahu rakyat beri kerjasama baik dengan beliau (Mokran) bagi memastikan apa juga perancangan dan pembangunan termasuk soal pendidikan dapat diperkasakan di kawasan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga sentiasa mengalu-alukan badan korporat yang berminat melabur untuk tampil ke depan membantu perkembangan sektor pendidikan di negeri Sabah khususnya di sekolah ini.

“Syarikat korporat boleh membantu melalui pemberian komputer, mengadakan kelas tambahan atau mengambil sekolah tertentu sebagai sekolah angkat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|