1,500 peluang kerja ditawar pada Karnival Kerjaya Perdana di Tawau

1,500 peluang kerja ditawar pada Karnival Kerjaya Perdana di Tawau

Tawau: Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Perdana peringkat daerah Tawau anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, hari ini.

Karnival itu membabitkan kerjasama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Yakub menyempurnakan Karnival Kerjaya Perdana peringkat daerah Tawau.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan berkata sebanyak 23 majikan dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung menyertai karnival itu.

Beliau berkata, karnival itu adalah satu platform yang dapat menghubungkan belia atau pencari kerja dengan syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan.

Katanya, usaha JPSM dan PERKESO dalam menganjurkan program itu akan membuka lebih banyak peluang serta dapat membantu belia atau pencari kerja di daerah ini.

“Kerajaan negeri akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan kemahiran khususnya kepada belia tempatan,” katanya ketika merasmikan program itu.

Beliau juga menyarankan kepada belia supaya tidak terlalu memilih pekerjaan sebaliknya terus mengambil peluang untuk menimba pengalaman.

Katanya, walaupun mungkin peluang pekerjaan yang disediakan bukan pilihan ataupun sesuai dengan kelulusan yang ada tetapi ia boleh dijadikan sebagai permulaan untuk memasuki alam pekerjaan.

“Jadikan pekerjaan itu sebagai tempat menimba ilmu dan mencari pengalaman sebanyaknya untuk mendapatkan pekerjaan yang dihajatkan kelak,” katanya.

Katanya, sambutan majikan dari seluruh negara terhadap usaha itu sangat menggalakkan dan merekodkan lebih 200 syarikat yang berdaftar melalui portal Sabah Job.

“Kita mengharapkan pada masa akan datang lebih banyak majikan khususnya syarikat tempatan di Sabah akan menyertai karnival ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|