Bertembung sebelum terbakar, pemandu dan penumpang selamat

Bertembung sebelum terbakar, pemandu dan penumpang selamat

Ranau: Seorang pemandu cedera manakala penumpang parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Bundu Tuhan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kenderaan Proton Saga FLX yang dinaiki kedua-dua mangsa dilaporkan turut terbakar sejurus selepas kemalangan.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan EMRS.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.10 petang.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa terbakar 95 peratus selepas bertembung dengan sebuah lori tiga tan.

“Terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita dewasa parah manakala lelaki dewasa hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera EMRS manakala operasi pemadaman terus dijalankan.

“Operasi terkawal pada jam 4.10 petang dan operasi tamat sepenuhnya lapan minit kemudian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|