3.4 juta penduduk Sabah pada 2020

3.4 juta penduduk Sabah pada 2020

Kota Kinabalu: Penemuan utama Banci Malaysia 2020 menunjukkan populasi penduduk Sabah meningkat kepada 3.418 juta berbanding 3.117 juta orang pada 2010.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun berkata berlaku penurunan dalam kadar pertumbuhan penduduk Sabah daripada 2.3 peratus pada 2010 kepada 0.9 peratus pada 2020.

Beliau berkata, dari segi kohort (kaji selidik) umur, penduduk muda berumur 0 tahun hingga 14 tahun menyumbang 26.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri ini berbanding penduduk umur muda nasional iaitu 24 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia.

“Nisbah jantina penduduk Sabah pula mencatatkan 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan dan ini menunjukkan penduduk lelaki lebih ramai berbanding perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah di Ballroom Wisma Wanita Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, di peringkat nasional, populasi penduduk Malaysia yang dibanci pada 2020 meningkat kepada 32.4 juta orang, berbanding 10 tahun yang lalu seramai 27.5 juta orang.

Dalam tempoh sedekad itu, katanya pertumbuhan penduduk Malaysia meningkat lebih perlahan dengan kadar 1.7 peratus berbanding tahun 2010 pada kadar 2.1 peratus.

Sementara itu, Hajiji berkata berdasarkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada 29 Mei 2022, sebanyak 600 Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) dihasilkan.

Katanya, ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan sosio ekonomi dan strategi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasan masing- masing.

Beliau berkata, antara penemuan utama Statistik Subnasinal DUN bagi Negeri Sabah menunjukkan DUN Karambunai mempunyai bilangan penduduk dan tempat kediaman tertinggi di Sabah, masing-masing 164,000 orang dan 35,463 tempat kediaman.

DUN Banggi pula katanya menjadi kawasan DUN yang mencatatkan bilangan penduduk dan tempat kediaman terendah iaitu hanya 9,000 orang dan 2,588 tempat kediaman.

Dalam pada itu, beliau berkata Kota Kinabalu mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Sabah dengan 500,421 orang, diikuti Sandakan seramai 439,050 orang.

“Jika dilihat dari segi komposisi penduduk umur muda pula, daerah Putatan mencatatkan 34.5 peratus, sekali gus menjadi daerah yang mempunyai komposisi penduduk umur muda yang paling ramai.

“Data dan statistik ini dapat memberi
gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan menggunakan statistik hasil penemuan Banci Malaysia 2020 sehingga ke peringkat daerah untuk mentadbir urus negeri dengan lebih cekap dan efisien.

Katanya, pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri ke arah mencapai pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan di Sabah.

Beliau berkata, sejajar dengan hala tuju SMJ, statistik yang telah dikeluarkan dalam penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 di peringkat negeri dan daerah pentabiran boleh digunakan sebagai rujukan dan input yang kritikal bagi mengukur pelaksanaan program pembangunan sosio ekonomi.

“Statistik ini amat penting sebagai maklumat yang signifikan kepada kerajaan negeri dalam pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan, pelaksanaan keputusan dan penyelidikan di peringkat negeri, daerah pentadbiran, Parlimen dan DUN.

“Data ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan oleh kerajaan negeri untuk menyediakan input terbaik dalam menjayakan agenda pembangunan yang digariskan dalam hala tuju SMJ pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah, Hajiji
berkata, program itu adalah yang pertama kali dianjurkan DOSM di peringkat negeri bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan penemuan dan statistik yang diterbitkan hasil pelaksanaan Banci Malaysia 2020.

Beliau berharap DOSM yang berjaya mengeluarkan data yang ‘reliable’ akan terus mengeluarkan data yang memenuhi aspirasi dan kehendak pemegang taruh serta keperluan pelbagai peringkat yang diterjemahkan melalui peningkatan ketersediaan data sosial dan ekonomi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|