BERSATU Sabah tidak sembunyi, tetapi seiring dengan GRS – Khairul Firdaus

BERSATU Sabah tidak sembunyi, tetapi seiring dengan GRS – Khairul Firdaus

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah tidak bersembunyi di sebalik nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya bergerak seiring dalam GRS bersama rakan parti kompenen lain untuk kelangsungan pembangunan negeri Sabah.

Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, BERSATU adalah salah sebuah parti dalam GRS yang mentadbir Sabah.

“Tak baik fitnah kami (BERSATU) begitu, tuduh kami bersembunyi dalam GRS kerana kami lemah, sedih juga kami dengar tohmahan sebegitu.

“Tak wajar kalau ada pihak yang suka-suka hati menuduh BERSATU sebegitu, apatah lagi jika pihak itu bukan dari kalangan pemimpin tempatan Sabah yang arif tentang corak politik di negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Bersatu Sabah sudah tidak kukuh dan kini banyak menggunakan jenama GRS.

Khairul Firdaus yang juga Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi meminta pihak yang tidak arif dan tidak mengetahui tentang norma politik di Sabah tidak sewenang-wenangnya memberi ulasan atau menghina corak politik di negeri Sabah.

“Kita di negeri Sabah, dengan kerajaan GRS adalah satu cetusan idea yang pertama kali dalam sejarah politik Sabah dan jalinan kerjasama ini juga adalah cetusan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua BERSATU kita di Sabah dan juga Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selaku ketua Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Tidak lain tidak bukan, tujuan utamanya adalah kerana kedua-dua pemimpin ini adalah pemimpin Sabah, yang faham akan norma politik di Sabah dan inginkan yang terbaik untuk kelangsungan kemajuan negeri Sabah, seiring dengan fokus Sabah Maju Jaya.

“Saya harap, tiada yang berhasrat atau berniat ingin menjadi batu api, mencurah minyak dan mencetus bahang api persengketaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|