BERSATU Putatan nafi 300 ahli sertai UMNO / BN

BERSATU Putatan nafi 300 ahli sertai UMNO / BN

Putatan: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Putatan hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan seramai 300 ahlinya keluar parti dan menyertai UMNO, baru-baru ini.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed itu sengaja direkanya bagi mengejar populariti murahan.

“Memang benar ada seorang dua yang keluar parti iaitu Ketua Cawangan Sembulan Selatan dan Ketua Cawangan Tanjung Aru Baru, namun Ketua Srikandi, Ketua Armada dan ahli-ahli cawangan tersebut masih kekal bersama BERSATU, dan cawangan itu juga masih aktif serta baru sahaja selesai mengadakan persidangan cawangan mereka.

“Dakwaan Jeffrey adalah cakap-cakap kosong semata-mata, manakala individu yang mendakwa mewakili kumpulan itu, Sulaiman Salleh juga bukan ahli BERSATU dan kami tidak kenal siapa individu tersebut.

“Saya mencabar Jeffrey agar membuktikan dari mana beliau dapat seramai 300 ahli BERSATU? Cukup-cukuplah dengan pembohongan ini, jadilah pemimpin bertanggungjawab dan bukan membuat tuduhan tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Isquzawan Israq mengulas laporan media bahawa 300 ahli BERSATU dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) kawasan Parlimen Putatan menghantar borang permohonan menyertai UMNO pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin, di sini, pada Sabtu lalu.

Menurut Jeffrey Nor, sebelum ini seramai 630 orang ahli BERSATU dan WARISAN Putatan juga telah menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO.

“Ini merupakan kumpulan kedua ahli-ahli BERSATU dan WARISAN yang telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai UMNO kerana kekecewaan mereka yang merasakan tertipu dengan pelbagai janji manis parti tersebut,” katanya.

Mohd Isquzawan Israq percaya, tindakan Jeffrey Nor itu didorong oleh keinginannya yang terlalu dahaga untuk menjadi calon kerusi Parlimen Putatan pada Piluhan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya nasihatkan beliau agar menjadi pemimpin yang betul-betul mempunyai usaha untuk parti yang disertainya. Jangan menjadi pemimpin yang hanya tangkap muat dengan memanipulasikan angka untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua 80 cawangan BERSATU Bahagian Putatan telah selesai mengadakan mesyuarat cawangan mereka dengan empat daripadanya adalah penaja.

Katanya, persidangan BERSATU Bahagian Putatan dijangka diadakan pada 9 Oktober 2022, dengan seramai 600 perwakilan akan menghadirinya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|