BERSATU Pusat yakin kepimpinan Hajiji menerajui GRS

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pusat yakin dengan kepimpinan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menerajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan melihat kebolehan Ketua Menteri Sabah yang memahami situasi semasa di negeri ini mampu menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah.

“Sebenarnya penubuhan GRS ini disuarakan oleh pemimpin BERSATU dari Pusat juga dan sebagai usaha untuk memastikan bahawa politik Sabah kekal diterajui oleh mereka yang lebih faham dengan suasana di Sabah.

“Jadi kita dari BERSATU Pusat menyokong sepenuhnya malah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pimpinan politik di Sabah terutama Datuk Seri Hajiji Noor yang mengepalai jentera politik kita di sini dan pemimpin daripad BERSATU serta pemimpin kepada GRS atas pelancaran yang baru diadakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Beliau dalam pada itu berkata, gabungan yang dibentuk adalah model yang mana di peringkat Persekutuan mungkin ada isu yang menyebabkan gabungannya berbeza di peringkat lokal.

“Di peringkat negeri, boleh diadakan gabungan yang memberi faedah dan manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Wan Saiful dalam pada itu menafikan bahawa penyertaan BERSATU Sabah dalam gabungan itu akan menjejaskan hala tuju BERSATU Pusat.

“Dari segi BERSATU di peringkat kebangsaan, kita amat menyokong sepenuhnya apa yang diusahakan Datuk Seri Hajiji dan tidak ada sebarang masalah langsung.

“Malah kita memuji apa yang dilakukan di Sabah ini. Jadi ini satu perkara yang baik dan saya rasa akan membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|