Kota Kinabalu: Seramai 75 bekas pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran, bagi sesi latihan tahun 1984 hingga 1986 bertemu semula pada majlis ‘reunion’ yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Harun Durabi berkata, majlis pertemuan yang dinanti-nantikan setelah puluhan tahun tidak bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan khususnya bekas pelatih IPG Kampus Kent Tuaran tahun 1984-1986.
Beliau yang juga salah seorang pelatih di kampus itu turut berbangga dengan kejayaan rakan-rakannya yang telah menjadi pendidik dan banyak mencurah bakti, mendidik dengan dedikasi kepada anak-anak sama ada di negeri ini atau di mana sahaja mereka berada.
“Terima kasih, syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa (AJK) penganjur kerana berjaya melaksanakan majlis pertemuan ini dan kepada rakan-rakan, walaupun mengharungi lautan dan belantara, masa dan wang ringgit semata-mata mahu menemui rakan-rakan yang terpisah puluhan tahun. Sungguh indah sekali bertemu kita pada hari ini walaupun sudah di hujung senja.
“Didoakan moga-moga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan moga ada ruang dan waktu kita bersama lagi,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Reunion Keluarga Kent Unit 841 – 846 2022 itu.
Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka turut menyampaikan sumbangan RM5,000 untuk tabung Keluarga Kent Unit 841-846.
Terdahulu, Pengerusi penganjur Rabduneh Jalil berkata, majlis pertemuan ini merupakan kali keempat berjaya dilaksanakan selepas tiga majlis pertemuan yang diadakan sebelum ini.
Rabduneh berharap majlis ini dapat mengeratkan tali persahabatan dan persaudaraan di kalangan Kelas 841 – 846 disamping bertukar-tukar fikiran dan berbincang berkaitan pendidikan masa kini serta perancangan kehidupan masing-masing.
“Tujuan kita mengadakan majlis yang bertemakan ‘hari ini kita bersahabat, esok kita bersahabat dan selamanya kita bersahabat’, adalah untuk mengeratkan hubungan tali silaturahim, mengimbau kembali kenangan bersama sambil merehatkan minda,” katanya.
Selain acara santai menjamu selera bersama, pelbagai acara turut diadakan seperti tayangan video kenangan, bertukar-tukar hadiah, cabutan tiket bertuah dan persembahan karaoke.
Turut hadir Timbalan Pengerusi merangkap Presiden Majlis Guru Besar Sabah dan juga Ahli Majlis Tertinggi Guru Besar Kebangsaan, Kasbulah Mangun.
-Deasoka