ADUN Warisan, Rina Jainal keluar parti

ADUN Warisan, Rina Jainal keluar parti

Kota Kinabalu: Suhu politik di Sabah kembali hangat susulan tindakan seorang lagi wakil rakyat pembangkang dari Parti Warisan (WARISAN) bertindak keluar parti itu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 70 Kukusan, Rina Jainal menjadi wakil rakyat terbaru berbuat demikian dengan menyatakan hasrat menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Rina ketika sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam satu sidang media tergempar yang diadakan di Kota Kinabalu hari ini, Rina menegaskan tindakan keluar parti berkenaan adalah berdasarkan kerelaannya sendiri dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Rina berkata, beliau mengambil tindakan keluar parti dan menyokong kepimpinan GRS+BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji.

Rina menyerahkan borang permohonan menyertai Harapan Rakyat kepada Liew Yun Fah.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap berterima kasih dengan semua pimpinan, akar umbi WARISAN yang menjadikannya ahli politik dan wakil rakyat.

“Namun demi perjuangan untuk rakyat, saya tetap teruskan biar berlainan platform. Tindakan saya ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara saya dan pimpinan Warisan sebelum ini.

Rina Jainal bersama barisan pemimpin parti Harapan Rakyat Sabah.

“Cuma tindakan ini saya kira atas faktor rakyat di kawasan saya wakili dengan hanya GRS sahaja dapat membangunkan ekonomi setempat setakat ini, “katanya.

Untuk rekod, Rina merupakan wakil rakyat keenam selepas beberapa lagi ADUN dari WARISAN iaitu Hassan A Ghani Pg Amir, Datuk Yusuf Yacob, Datuk Mohamadin Ketapi, Datuk Peter Anthony dan Datuk Juil Nuantim bertindak keluar parti itu sebelum ini.

Terdahulu, dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, turut mendedahkan parti itu akan menyokong kepimpinan GRS.

Liew berkata, Rina sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pihaknya selain menyatakan hasrat untuk menyertai Harapan Rakyat.

“YB Rina ada bertemu dengan kami dan dalam masa sama juga berhasrat menyertai parti Harapan Rakyat Sabah.

“Untuk makluman, parti ini sudah lama berada di dalam senario politik Sabah dan ia merupakan satu platform yang baik tepat untuk memperjuangkan agenda negeri dan nasional,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|