Bilal meninggal dunia jatuh gaung sebelum sempat laungkan azan

Kota Kinabalu: Seorang bilal di Masjid Al-Falah, Kepayan, di sini, disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung setinggi tujuh meter, di perkarangan masjid berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 73 tahun terbabit disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Restoran Maimunah, Kepayan menuju ke Masjid Al-Falah untuk tugas bilal, bagi solat Zohor.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba dilokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaannya terus masuk ke kawasan gaung.

Kenderaan dipandu mangsa terbabas sebelum terjunam masuk ke dalam gaung sedalam 7 meter di perkarangan masjid Al-Falah, Kepayan, Kota Kinabalu.

“Kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 7 meter dan terbalik sebelum berhenti sepenuhnya.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital QE1 oleh Ambulan EMRS Jabatan Bomba untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE1 kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di Zon Merah pada jam 2 petang tadi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|