Beri bantuan guna saluran yang betul elak ditipu sindiket pengemis

Beri bantuan guna saluran yang betul elak ditipu sindiket pengemis

Putatan: Orang ramai diseru supaya memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui saluran yang betul bagi mengelak daripada diperdaya sindiket pengemis yang berlegar terutama di kawasan pusat bandar.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, walaupun pihaknya tiada statistik namun aktiviti gelandangan dilihat semakin berleluasa di sekitar pusat bandar.

Shahelmey menemui peniaga dan orang ramai di Bazar Ramadan Putatan ketika melancarkan Kempen Bijak Membantu, Elak Tertipu.

“Kita tidak ada statistik yang lengkap berkenaan dengan pengemis yang ada di Kota Kinabalu tetapi kebelakangan ini selepas kita membuka banyak kelonggaran, pelbagai aktiviti dibenarkan maka muncullah pengemis jalanan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, malah ada juga di sekitar Putatan ini.

“Apa yang kita dimaklumkan bahawa majoriti pengemis tersebut adalah bukan warga negara, mereka adalah daripada golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kita telah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat perkara ini untuk menanganinya,” katanya ketika melancarkan Kempen Bijak Membantu, Elak Tertipu, di Bazar Ramadan Putatan, di sini, hari ini.

Katanya lagi, menerusi kempen berkenaan ia diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung bagaimana hendak membantu orang yang memerlukan tetapi harus mengikut saluran yang betul.

“Ini untuk mengelak daripada orang ramai yang bermurah hati, ingin membantu golongan yang memerlukan daripada tertipu dengan sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi kita menyeru kepada orang ramai untuk menyedari bahawa wujudnya kempen ini. Salurkan bantuan anda melalui saluran yang betul seperti institut atau agensi yang diiktiraf oleh kerajaan bagi memastikan bahawa bantuan sampai kepada golongan sasar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|