Tawau: Tindakan seorang pegawai polis meminta suapan RM3,000, enam tahun lalu membawa padah apabila dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM15,000 selepas mengaku salah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, di sini, hari ini.
Tertuduh, Zakariah Kirinu, 40, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Inspektor dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau didakwa meminta suapan RM3,000 daripada seorang individu pada kira-kira jam 3 petang, 19 April 2016.
Suapan itu sebagai balasan untuk membantu individu terbabit melepaskan jaminan bagi kes senjata api dan menggugurkan kes pedang samurai terhadap bapa individu sama yang mana tertuduh ketika itu sebagai Pegawai Pendakwa bagi kes terbabit.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan di hadapan Mahkamah Tawau.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini selain turut membayar denda yang dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-Deasoka