Berenang 500 meter selamatkan diri daripada banjir

Berenang 500 meter selamatkan diri daripada banjir

Pitas: Terpaksa berenang hampir 500 meter untuk menyelamatkan diri dan keluarga.

Itu cabaran yang terpaksa dihadapi tujuh sekeluarga selepas rumah mereka di Kampung Kabatasan, di sini, dilanda banjir, semalam.

Janaik Jina, 56, berkata, sejak hujan lebat melanda daerah ini dua hari lalu, dia mengambil keputusan untuk meletakkan kenderaannya di tempat tinggi di tepi jalan.

Janaik Jina, 56

Bagaimanapun katanya, ia terletak sejauh kira-kira 500 meter dari rumahnya memandangkan kawasan rumahnya adalah bersebelahan dengan sungai.

“Sebaik air mula menaiki kawasan perkampungan kami, saya dan keluarga membuat keputusan untuk meninggalkan rumah memandangkan kedudukan rumah yang rendah.

“Air mula naik sehingga ke paras leher setinggi kira-kira 1.5 meter dan kami terus berenang sehingga sampai ke kereta,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II, di sini.

Janaik berkata, mereka kemudiannya menaiki kenderaan sendiri sehingga sampai ke PPS berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir yang hanya dikenali sebagai Tommy, 26, berkata, kejadian kali ini adalah pengalaman buruk buat dirinya dan keluarga.

Namun katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan barangan di rumah.

“Apa yang penting adalah keselamatan nyawa keluarga. Harta boleh dicari, sebaliknya nyawa insan tersayang lebih penting,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|