Wanita maut kemalangan di Kimanis – Papar

Wanita maut kemalangan di Kimanis – Papar

Papar: Seorang penumpang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 41, Jalan Kimanis-Keningau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, wanita berusia 40-an terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi.

Keadaan kenderaan mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometr 41, Jalan Kimanis-Keningau, Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Honda Jazz dan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pemandu Honda Jazz dari arah Keningau menuju ke Papar.

“Sebaik tiba di lokasi dan menuruni jalan berbukit dalam keadaan hujan pemandu kenderaan tidak dapat mengawal kenderaannya lalu memasuki lorong sebelah iaitu lorong bertentangan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit.

“Kenderaan itu dalam keadaaan melintang dan meluncur turun ke bawah, pada masa sama Isuzi Dmax berada di lorong kiri menghala dari Papar ke Keningau dan pemandu menghentikan kenderaannya serta cuba mengelak daripada berlaku rempuhan namun kenderaan mangsa melintang lalu merempuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu, penumpang yang duduk di bahagian pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Papar.

Tambah Batholomew lagi, kes masih dalam siasatan pihaknya di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai yang menggunakan laluan Kimanis-Keningau supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi isyarat lalu lintas yang diletakkan di bahu jalan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu seorang meninggal dunia, dua parah dan dua lagi cedera.

“Empat individu termasuk seorang mangsa meninggal dunia, dua parah dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera ringan berada di dalam Honda Jazz manakala seorang lelaki pemandu Isuzu Dmax berusia 50-an juga cedera ringan.

“Semua mangsa diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.58 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|