Belum ada rumah terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini meskipun situasi Covid-19 semakin pulih.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun berkata Kabinet negeri hari ini memutuskan mengadakan resepsi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu.

Hajiji berucap pada majlis berbuka puasa bersama Sekretariat Halatuju SMJ di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Katanya, majlis itu diadakan pada 7 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, berdasarkan jemputan sahaja, dengan antara tetamunya ialah pemimpin pembangkang.

“Pihak Istana Seri Kinabalu juga tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka, sebaliknya hanya mengadakan majlis resepsi Aidilfitri dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Sekretariat Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini, malam ini.

Hajiji berkata, beliau gembira dengan perkembangan semasa COVID-19 di Sabah yang menunjukkan penurunan berterusan kes harian dan berharap keadaan akan pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri melahirkan penghargaannya kepada Sekretariat Halatuju SMJ di bawah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dalam memastikan pelan pembangunan kerajaan negeri itu berjalan lancar.

Katanya, Halatuju SMJ 1.0 menerima pujian beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|