Belasah pelajar, 3 pelajar sekolah ditahan, 3 lagi dicari

Belasah pelajar, 3 pelajar sekolah ditahan, 3 lagi dicari

Kota Kinabalu: Seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Manggatal, di sini, cedera selepas dipercayai dibelasah sekumpulan rakan sekolahnya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’ di bahagian pipi dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berpunca ketika mangsa sedang mengangkat meja masuk ke dalam kelasnya.

Katanya, laluan mangsa bagaimanapun terhalang oleh sekumpulan pelajar yang sedang bergambar.

“Mangsa dikatakan menjerit meminta laluan kepada kumpulan pelajar terbabit, namun tidak dipedulikan.

“Mangsa kemudiannya menjerit beberapa kali ‘tepi-tepi’ sebelum melanggar pelajar-pelajar terbabit menggunakan meja yang diangkatnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, salah seorang pelajar terus menolak mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dengan kumpulan pelajar terbabit.

Katanya, kejadian dilihat oleh seorang guru yang terus bertindak mengarahkan mereka untuk berhenti daripada bergaduh.

“Pihak sekolah kemudiannya menghubungi ahli keluarga mangsa untuk memaklumkan kejadian sebelum ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, mengikut laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan pihaknya sudah menahan tiga daripada enam pelajar yang disyaki terbabit.

“Hasil siasatan mendapati enam orang yang telah dikenalpasti memukul mangsa, seorang ditahan semalam dan dua lagi ditahan hari ini. Manakala selebihnya yang masih bebas sedang dikesan.

“Seorang pelajar telah ditahan reman selama empat hari dan dua orang lagi akan diambil tindakan yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan siasat sepenuhnya supaya kes buli ini tidak menjadi budaya di sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|