Naik taraf Jalan Tongod-Keningau beri jutaan manfaat kepada penduduk – Bung Moktar

Naik taraf Jalan Tongod-Keningau beri jutaan manfaat kepada penduduk – Bung Moktar

Tongod: Projek menaik taraf Jalan Tongod-Keningau sejauh kira-kira 40 kilometer dengan kos RM320 juta yang bermula sejak tahun lalu bakal memberi jutaan manfaat kepada penduduk di kedua-dua daerah yang sudah lama menanti kemudahan jalan raya berturap.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jalan raya yang menghubungkan Kampung Linayukan, di sini, dengan Kampung Sinaron, Sook di Keningau itu memanfaatkan penduduk di 19 kampung sepanjang laluan berkenaan.

Bung Moktar pada pelancaran projek menaik taraf Jalan Linayukan, Tongod – Sinaron, Sook di Tongod.

Beliau berkata, apabila siap, jalan raya berkenaan memendekkan perjalanan di antara kedua daerah berikutan laluan yang ada kini perlu menggunakan jalan ke Kota Kinabalu sebelum ke Keningau.

“Ketika ini pelaksanaan kerja pembinaan sudah mencapai 19 peratus. Apabila siap, ia pasti membawa jutaan manfaat kepada penduduk yang sudah sekian lama menanti jalan berturap ini.

“Impaknya amat besar yang mana dulu kalau orang Tongod hendak ke Keningau mereka perlu melalui Kota Kinabalu dengan jarak sejauh 315 kilometer.

“Siap saja jalan ini nanti, jarak ke Keningau hanya lebih kurang 200 saja,” katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran projek menaik taraf Jalan Linayukan, Tongod – Sinaron, Sook, Keningau, di Kampung Lalampas, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata jalan perhubungan yang baik penting bagi mencetuskan peluang ekonomi bukan saja di daerah ini dan Keningau, malah daerah sekitarnya seperti Tambunan dan Nabawan.

Katanya, penduduk daerah ini mampu meningkatkan lagi tahap sosio ekonomi dengan adanya peluang ekonomi hasil infrastruktur jalan raya yang baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|