Belanjawan perlu sampai dan dirasai rakyat – Mustapha Sakmud

Belanjawan perlu sampai dan dirasai rakyat – Mustapha Sakmud

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud memuji peruntukan belanjawan terbesar yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

Beliau berkata, perbelanjaan sebanyak RM5.138 bilion dengan kutipan hasil RM5.268 bilion itu merupakan rekod tertinggi dan sejarah baharu kewangan negeri dengan lebihan RM130.47 juta.

Mustapha (tengah) bersama Azhar (kanan) ketika tinjauan masalah banjir di Kampung Rampayan, Manggatal.

Katanya, bajet yang bertemakan Ekonomi Perkasa Rakyat Sejahtera itu diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat di seluruh negeri ini.

“Tidak guna jika hanya bajet besar tetapi gagal menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi rakyat.

“Saya berharap peruntukan untuk tebatan banjir dan penyelenggaraan parit serta saliran dapat digunakan sebaik mungkin untuk meminimakan banjir kilat yang sering melanda beberapa lokasi dan kampung sekitar Sepanggar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi lawatan ke Kampung Rampayan Ulu dan Kampung Rampayan Laut, Manggatal, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin, ketua-ketua kampung dan pimpinan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sepanggar.

Mustapha berkata, ADUN yang akan menerima peruntukan RM3 juta untuk tahun depan juga disarankan membantu usaha mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat mengikut keutamaan kawasan masing-masing.

Katanya, setiap kepimpinan juga digalakkan supaya kerap menemui agensi dan jabatan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci.

“Ia bagi membincangkan segala perancangan dan pelaksanaan dalam menangani isu banjir kilat yang sering melanda beberapa kampung di sekitar kawasan masing-masing.

“Sebagai Ahli Parlimen yang baharu di sini, saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar segala permasalahan dan isu dapat disuarakan di Parlimen.

“Saya memerlukan input dan cadangan agar dapat dibawa kepada perhatian Perdana Menteri serta kementerian yang berkaitan,” katanya.

Mustapha berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak bekerja demi rakyat dan meredakan suhu politik negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|