Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 akan tiba esok atau lusa

Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 akan tiba esok atau lusa

Kota Kinabalu: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 akan tiba esok atau lusa bagi menampung permintaan yang tinggi daripada pelanggan di bandar raya ini berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya menerima laporan bahawa berlaku kekurangan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di negeri ini terutama di kedai runcit dan farmasi sekitar Kota Kinabalu.

Shahelmey meninjau farmasi yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 di Kampung Air, Kota Kinabalu.

“Saya melakukan tinjauan di beberapa tempat sekitar Kota kinabalu iaitu farmasi dan kedai runcit yang menjual kit ujian Covid-19 ini selepas menerima laporan bahawa di sekitar Sabah sedang mengalami kekurangan alat berkenaan.

“Saya ambil maklum bahawa ada beberapa kedai farmasi kehabisan stok, ini disebabkan oleh peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 terutama kluster sekolah.

“Bagaimanapun, hasil perbincangan dengan operator farmasi, mereka yakin bekalan akan tiba dalam tempoh sehari dua dari sekarang,” katanya ketika ditemui selepas meninjau farmasi di Kampung Air, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Shahelmey menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik terhadap kit ujian kendiri Covid-19 sebaik bekalan itu tiba nanti.

“Jadi nasihat saya kepada orang ramai agar tidak terlalu panik terhadap bekalan kit kendiri di sekitar Kota Kinabalu ini kerana ia boleh didapati di farmasi yang masih ada stok atau di kedai serbaneka yang sebenarnya juga menjual alat ini.

“Diharap tidak ada ‘panic buying’ di kalangan masyarakat setempat dan kerajaan juga sudah menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri ini iaitu RM19.90 dan kebanyakan kedai yang menjual dengan harga yang lebih murah berbanding harga siling itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|