Lelaki parah dibaham buaya ketika cari lokan

Lelaki parah dibaham buaya ketika cari lokan

Tuaran: Berpantang maut sebelum ajal, itu yang berlaku terhadap seorang lelaki ketika berdepan detik cemas bertarung nyawa untuk melepaskan diri daripada cengkaman mulut buaya ketika mencari lokan di Sungai Giling, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang berusia 40-an dikatakan pergi ke sungai berkenaan untuk mencari lokan sebelum terpijak reptilia terbabit yang kehadirannya tidak disedari mangsa.

Menurut sumber, haiwan liar berkenaan kemudian terus membaham kaki kiri lelaki terbabit sebelum berjaya dilepaskan setelah beberapa minit bertarung.

Kata sumber itu lagi, akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki dan terus dikejarkan ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sebaik mangsa berjaya menyelamatkan diri, mangsa terus dihantar ke Hospital Tuaran dengan dibantu rakan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tuaran

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|