Banjir di Pitas pulih, empat PPS ditutup

Banjir di Pitas pulih, empat PPS ditutup

Pitas: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini ditutup berikutan keadaan banjir yang semakin pulih, hari ini.

PPS terbabit iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon, Dewan Kampung Kusilad, Dewan SK Pekan 2 dan Dewan Kampung Kabatasan ditutup jam 12.30 tengah hari tadi.

Penutupan PPS terbabit susulan pengisytiharan penamatan situasi banjir gelombang kedua oleh Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Izul.

Firuz Idzualdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan maklumat lapangan dan laporan yang diterimanya.

“Empat PPS itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon, Dewan Kampung Kusilad, Dewan SK Pekan 2 dan Dewan Kampung Kabatasan.

“Kesemuanya ditutup, berkuatkuasa pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar operasi penghantaran pulang semua mangsa banjir dilakukan segera.

“Pada masa sama, saya juga meminta agar pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan bantuan agensi keselamatan melakukan kerja-kerja pembersihan serta proses nyahjangkitan (disinfeksi) virus Covid-19 di PPS yang terlibat.

“Ini bagi mencegah risiko penularan virus tersebut serta lain-lain penyakit berjangkit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|