Bakal doktor UMS jalankan kajian, tingkat kesedaran cegah Malaria Monyet

Bakal doktor UMS jalankan kajian, tingkat kesedaran cegah Malaria Monyet

Kudat: Pelajar Perubatan Tahun 4 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melaksanakan kajian berkaitan penyakit Malaria Monyet di Kampung Malamam dan Kampung Sakat Malamam, di sini.

Dekan FPSK UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, Modul Perubatan Komuniti itu memberikan kelainan kepada pelajar iaitu mereka perlu turun padang dan mendekati komuniti dalam persekitaran setempat.

Menurut beliau, walaupun kes jangkitan malaria secara amnya menunjukkan penurunan, namun jangkitan malaria bawaan haiwan (beruk/ kera) atau dikenali sebagai zoonotic malaria menunjukkan peningkatan.

“Modul selama tujuh minggu itu antara lain memberi peluang kepada para pelajar perubatan untuk mendekati komuniti setempat, memahami masalah dan keperluan kesihatan penduduk, serta melakukan kajian dan melaksanakan promosi kesihatan.

“Selain berkongsi hasil dapatan kajian dan memberi pendidikan kesihatan kepada penduduk kampung, program ini turut diisi dengan pelbagai acara lain seperti perlawanan persahabatan bersama penduduk kampung, acara sukaneka dan juga pertandingan mewarna bagi kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada penduduk kampung untuk sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keluarga.

Belia turut mengingatkan mereka agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan jangkitan malaria dan penyakit-penyakit lain.

“Penduduk juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Pusat Pendidikan Perubatan Desa (Rural Medical Education Centre – RMEC) yang terletak di Sikuati, Kudat.

“RMEC bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Sikuati dalam menyediakan rawatan pesakit luar serta rawatan pakar daripada UMS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Malamam, Jumial Yakim dan Ketua Kampung Sakat Malamam, Halau Majunkat masing-masing menzahirkan ucapan terima kasih atas inisiatif penganjuran program berkenaan.

“Program seperti ini amat bermanfaat kepada seluruh penduduk kampung dan diharap lebih banyak lagi program-program seumpama ini dapat dilaksanakan UMS di sini,” kata mereka.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, program-program sedemikian bukan sahaja menjadi wadah pembelajaran kepada bakal-bakal doktor perubatan, malah dapat menzahirkan aspirasi UMS untuk mendekati masyarakat di Sabah.

Program tersebut turut disertai para pensyarah, Unit Kawalan Vektor dan Unit Pergigian Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat serta Klinik Kesihatan Lotong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|