Bajet 2023 sejajar komitmen kerajaan Pusat – Hajiji

Bajet 2023 sejajar komitmen kerajaan Pusat – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini konsisten dengan komitmen kerajaan persekutuan dalam memastikan tiada yang tertinggal dalam pembangunan arus perdana.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bajet kali ini adalah kesinambungan momentum pemulihan negara daripada pandemik Covid-19 yang kini dalam fasa endemik.

Katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan bajet yang inklusif itu terutama peruntukan untuk pembangunan yang berjumlah RM6.3 bilion kepada Sabah pada tahun depan.

“Jumlah itu membabitkan kenaikan 20.45 peratus berbanding RM5.2 billion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam bajet nasional pada tahun ini.

“Sabah mengalu-alukan komitmen kerajaan persekutuan untuk terus memberi penekanan kepada pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan berhubung pembentangan Bajet 2023, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri turut menyaksikan pembentangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu secara langsung melalui siaran televisyen di Menara Kinabalu, di sini.

Turut bersama beliau ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan komitmen kerajaan persekutuan dalam memastikan keselamatan Sabah dengan menaik taraf kemudahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, selain menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital medan pada tahun depan.

“Begitu juga untuk peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk pembaikan sekolah daif yang membabitkan sebanyak 123 sekolah di Sabah tahun depan selain RM430 juta untuk membina sekolah baharu di seluruh negara termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu pada tahun depan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memberi jaminan peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dijangka siap pada 2024.

Turut disentuh katanya pembangunan bandar sempadan termasuk pembinaan jalan menghubungkan Kalabakan dengan Simanggaris di Indonesia.

Ketika membentangkan Bajet 2023, Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk pembangunan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, tahun depan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu meringankan kesukaran rakyat menerusi pengagihan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion tahun depan.

“Kita juga mengalu-alukan pemberian subsidi bekalan elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah yang tersenarai dalam e-kasih selain pelbagai inisiatif lain dalam sektor pelancongan yang diharap dapat meningkatkan hasil negeri pada tahun depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|