Liga Super: Misi mesti menang Sang Badak tercapai

Liga Super: Misi mesti menang Sang Badak tercapai

Kota Kinabalu: Misi mesti menang Sabah FC di Stadium Likas dalam aksi Liga Super menentang Pulau Pinang malam ini berhasil dengan kemenangan besar 4-1.

Hasil kemenangan itu, Sabah kini mengumpul 39 mata, kekal di tangga kedua carta liga, namun masih dieekori rapat Terengganu FC di tangga ketiga.

Kemenangan Sabah FC di laman sendiri itu juga menggembirakan penyokong skuad Sang Badak yang menyaksikan perlawanan terakhir di Stadium Likas itu dalam Liga Super 2022.

Gol pertama Sabah terhasil pada minit ke-32 melalui tandukan Baddrol Bakhtiar yang menerima hantaran lintang Alto Linus di hadapan gawang Pulau Pinang.

Ketinggalan 1-0, Pulau Pinang kemudian melakukan serangan balas dan hampir berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-35, namun digagalkan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Pulau Pinang juga terpaksa beraksi 10 pemain selepas penyerang importnya, Rafael Vitor dilayangkan kad merah pada minit ke-42 kerana menjatuhkan pemain Sabah, Saddil Ramdani.

Bagaimanapun, Pulau Pinang mengejutkan Sabah pada separuh masa kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Adib Abdul Ra’op pada minit ke-70.

Namun, kegembiraan itu hanya seketika apabila pemain import Sabah, Park Taesu berjaya menambah gol kedua Sang Badak melalui tandukannya, kira-kira dua minit kemudian menjadikan kedudukan berubah kepada 2-1.

Sabah mengukuhkan lagi kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-78 hasil sepakan penalti Saddil Ramdani.

Sepakan itu diberikan pengadil apabila seorang pemain tuan rumah, N Thanabalan dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti Pulau Pinang.

Dengan kedudukan 3-1 itu, Sabah sudah boleh memenangi perlawanan yang menghampiri penghujung permainan.

Namun, bonus bagi Sabah apabila satu lagi gol dicipta pada minit ke-88, membuatkan Pulau Pinang terus ketinggalan dengan 4-1.

Jaringan keempat Sabah itu hasil sepakan kaki kiri Stewart John Wilkin, sekali gus membolehkan Sabah menang dengan jaringan besar di Stadium Likas, malam ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|