Atlet negara perlukan sokongan kewangan ke kejohanan dunia

Atlet negara perlukan sokongan kewangan ke kejohanan dunia

Sandakan: Seorang atlet traithlon negara berasal dari Sabah terpilih menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Amerika Syarikat, pada Oktober depan.

Atlet terbabit, Yatim Zainal Abidin bersama seorang lagiatlet Malaysia berjaya melayakkan diri dalam kejohanan besar berkenaan.

Bagaimanapun, atlet sukan lasak berkenaan berdepan kekurangan dana bagi melakukan persediaan untuk menyertai kejohanan itu

Yatim berkata, beliau memerlukan sekurang-kurang RM35,000 bagi menampung kos pembelian tiket penerbangan, makanan, tempat tinggal latihan di Sabah dan pelbagai peralatan yang perlu disediakan.

Yatim ketika ditemui media

“Secara kasarnya perbelanjaan saya untuk kali ini adalah RM40,000 tetapi setelah dikira bersihnya hanya RM35,000 sahaja, sudah mencukupi.

“Ia untuk latihan saya, persiapan ke Amerika Syarikat seperti penerbangan, hotel, dan juga ‘supplement’ untuk latihan, pemakanan, setiap hari pada masa saya berlatih dan menyertai pertandingan itu nanti,” katanya, di sini.

Yatim menjalani latihan berbasikal sebagai persediaan ke Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Amerika Syarikat.

Atlet berusia 46 tahun itu berkata, sebelum ini beliau sudah menghantar permohonan sokongan kewangan kepada pelbagai pihak, namun hanya satu pihak yang sudi menyalurkan dana.

Beliau berkata, dana yang disalurkan itu juga sangat kecil dan sudahpun digunakan untuk membayar visa ke Amerika Syarikat.

Katanya, beliau sangat berharap agar ada pihak tampil memberikan tajaan dan sokongan kewangan secepat mungkin iaitu selewat-lewatnya September ini kerana perlu bertolak tiga minggu lebih awal ke Amerika Syarikat bagi menjalani latihan di sana.

Jelasnya, sejak tahun lalu beliau tidak pernah berhenti melakukan persiapan dan sentiasa menjalani latihan sendiri, manakala ketika ini sedang giat mempersiapkan diri dengan latihan berbasikal, berenang dan berlari.

“Dari segi persediaan saya, lebih terperinci berbanding sebelum kejohanan dunia saya tahun lalu di Eropah iaitu Slovakia.

“Pada masa ini saya tengah buat latihan secara teratur dan lebih mudah serta mengambil kira tentang masa saya berlatih, setiap hari, minggu dan bulan,” katanya.

Yatim berkata kejohanan kali ini adalah yang terakhir disertainya kerana mahu bersara selepas lebih 30 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Justeru, Yatim sangat berharap ada pihak dapat menyalurkan bantuan kewangan dan mana-mana pihak yang berminat boleh menghubunginya di talian 011-26198804.

Beliau yang berasal dari Membakut, berkata pernah menyertai puluhan kejohanan duatlon dan traithlon dalam negara serta sering mendapat ‘top three’.

Selain itu, katanya beliau juga pernah menjuarai triathlon Samarahan bagi kategori 40 tahun ke atas dua tahun berturut-turut pada 2018 dan 2019

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|