Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda, 11 penghuni ditauliahkan

Kota Kinabalu: Seramai 11 penghuni muda menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda menerusi pelaksanaan program The International Award for Young People membabitkan 140 negara.

Prgoram yang disertai lebih tujuh juta belia di seluruh dunia itu terbuka kepada remaja berusia 14 hingga 25 tahun berdasarkan semangat sukarela.

Ajidin menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima Pingat Tahap Gangsa Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.

Ia bagi menghadapi cabaran dalam menempuhi kedewasaan seperti Penerokaan Potensi Diri, Kemahiran Hidup, Kesungguhan, Tanggungjawab dan Khidmat Masyarakat.

Program yang turut dikenali sebagai Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda diiktiraf oleh kerajaan dan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, Jabatan Penjara Malaysia mengambil inisiatif membuka peluang kepada penghuni muda di Sekolah Integriti Kota Kinabalu untuk mendaftar sebagai peserta tahap gangsa bagi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.

Katanya, program berkenaan adalah hasil jalinan kerjasama yang julung kali diadakan antara Penjara Pusat Kota Kinabalu serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah.

“Ianya bermula sejak Disember tahun lalu sehingga Mei lalu dan kali ini seramai 11 orang penghuni muda layak untuk ditauliahkan dengan anugerah berkenaan.

“Semua yang ditauliah menerima pin Tahap Gangsa dan sijil oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan PKK Rosman Norman dan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu PKK Teyun Thian Eim serta Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Metchella Febrynna Methaz

Ajidin berkata, pendedahan terhadap program kesukarelwan ini diharap dapat memberi persediaan kepada penghuni muda untuk berkhidmat secara sukarela apabila mereka dibebaskan kelak.

Katanya, program berunsurkan kesukarelawan itu menjadi salah satu program pemulihan yang didedahkan kepada para penghuni muda di penjara.

“Inisiatif ini juga bagi memberi peluang kepada penghuni muda di penjara yang berusia antara 16 hingga 21 tahun untuk melibatkan diri dengan program kemasyarakatan dan kesukarelawan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran berbentuk material.

“Sektor sukarelawan kini sudahpun menjadi bahagian penting dalam aspek sosio, ekonomi dan politik di kebanyakan negara maju mula muncul secara aktif di sebahagian besar negara-negara membangun.

“Amalan kesukarelawan mempunyai potensi yang besar untuk membawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum kearah kesejahteraan hidup bersama,” katanya.

Ajidin berkata, menurut kajian The National Youtuh Agency, kerja sukarelawan jelas menyokong bukti bahawa belia boleh meningkatkan keyakinan serta harga diri, nilai bertanggungjawab, merasa berkepentingan kepada msyarakat terutamanya kepada golongan yang dibantu.

“Kerja ini juga boleh membangunkan pelbagai kemahiran komunikasi, sikap kepimpinan, kerjasama, daya penyelesaian masalah serta konflik, mengembalikan semula keyakinan terhadap pembelajaran dan kehidupan.

“Ia kerana proses kerja sukarela memerlukan perancangan rapi dalam aspek masa dan hubungan dengan orang sekeliling serta meningkatkan keupayaan dan potensi untuk terus bekerja dengan masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|