Dua bot asing diusir keluar, cuba ceroboh perairan negara

Sandakan: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh masuk ke perairan Utara Nunuyan, di sini, menggunakan dua bot laju berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM).

Kedua-dua bot laju berkenaan berjaya dikesan hasil operasi Op Gelora yang dijalankan di kawasan perairan pantai timur negeri ini, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, kedua-dua bot berjaya dikesan semasa rondaan di kawasan tanggungjawab pasukannya.

“Pasukan operasi berjaya mengesan bot-bot berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan bergerak dari perairan negara jiran.

“Pasukan operasi terus bertindak mengejar kedua-dua bot berkenaan sebelum dipintas untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua individu terbabit mengaku berasal daripada negara jiran Filipina.

“Kedua-dua bot berkenaan terus diusir dengan diiring sehingga keluar dari sempadan perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.

“Mereka turut diarahkan supaya tidak memasuki perairan Malaysia selaras dengan kehendak Undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|