Ambil langkah tangani isu banjir

Ambil langkah tangani isu banjir

Kota Kinabalu: Kerajaan perlu melaksanakan pelan pembangunan mampan bagi mengelak bencana banjir yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Razeef Rakimin berkata, pelan bantuan kemanusiaan juga perlu segera dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bencana banjir yang berlaku di negara ini dalam tempoh dua tahun ini merupakan yang paling buruk pernah berlaku. Bukan sahaja hampir seluruh semenanjung Malaysia lumpuh akibat bencana ini malah negeri Sabah juga tidak terkecuali.

“Negara kita sedang mengalami perubahan cuaca ekstrem yang sukar diramal. Ketika hampir seluruh dunia mengalami musim kemarau yang panjang, negara ini tidak putus dari menerima hujan sejak dua tahun kebelakangan seolah musim kemarau tidak lagi wujud.

“Namun begitu ketika cuaca cerah di negara cuaca ini sangat panas dan kebanyakan hari mencecah antara 32 hingga 37 darjah celsius,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, bencana banjir amat sukar dielak walau banyak sistem tebatan banjir dibuat apatah lagi dalam keadaan negara tidak berhenti menerima hujan.

“Oleh itu kerajaan perlu melaksanakan segera pelan-pelan yang telah dirancang sebelum ini bagi mengelak kesan lebih teruk jika berlaku banjir.

“Ini penting bagi mengelak kerosakan harta dan kehilangan nyawa yang lebih teruk.

“Selain itu satu pelan persediaan bagi mengurangkan beban golongan B40 dan M40 yang berkemungkinan menjadi mangsa banjir juga perlu dipersiap lebih awal kerana golongan ini adalah yang paling terkesan jika terkena bencana,” katanya.

Razeef berkata lagi, dalam tempoh singkat ini pihak kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu segera melakukan persiapan menghadapi bencana alam.

“Kegagalan kerajaan bertindak segera hanya akan menyukarkan pelbagai pihak jika bencana berlaku.

“Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perubahan iklim juga perlu segera dirangka, dibentang dan dilaksana dalam keadaan dunia sedang mengalami fasa awal ‘kiamat iklim’.

“Laporan memberitahu satu pertl tiga muka bumi mengalami cuaca panas melampau, sungai-sungai mula mengering, bongkah ais di Greenland mencair dengan pantas, gunung berapi mula aktif di kebanyakan kawasan serta suhu di kawasan kutub bulan lagi suhu membeku, ” katanya.

Sehubungan itu, Razeef berkata, langkah awal itu sangat penting dalam keadaan negara bakal menghadapi bencana tanpa diduga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|