BENCANA 2022 bincang isu semasa bencana alam di Malaysia

BENCANA 2022 bincang isu semasa bencana alam di Malaysia

Kota Kinabalu: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Bencana Alam (BENCANA 2022), baru-baru ini.

Seminar yang bertemakan ‘Memperkasakan Kedayatahanan Bencana Alam Terhadap Perubahan Iklim Era Pasca Covid-19’ itu turut mendapat sokongan Lembaga Geologi Malaysia (BOG), Institut Geologi Malaysia (IGM), Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Sebahagian peserta Seminar Bencana Alam 2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly, berkata seminar itu bertujuan membincangkan dapatan kajian dan rumusan berkaitan isu-isu bencana alam serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai aspek bencana yang berlaku di Malaysia.

Katanya, seminar itu juga mampu menjadi platform terbaik untuk kerjasama antara UMS dan badan-badan kerajaan serta swasta dalam pengurusan bencana alam.

Kesan aliran puing di Sungai Mesilou selepas tragedi gempa bumi yang berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015.

“Seminar ini mampu membuka peluang kerjasama penyelidikan dan menjadi platform kepada ahli-ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta, badan-badan profesional dan para penyelidik dari institusi penyelidikan yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam pengurusan bencana alam, selain mendapatkan liputan yang lebih meluas melalui penganjuran aktiviti dalam penerbitan berimpak tinggi,” katany ketika merasmikan persidangan itu.

Seminar yang dijalankan secara maya itu menerima banyak penyertaan terutama dalam pembentangan kertas kerja yang merangkumi pelbagai skop bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, aliran puing, banjir, ribut tropika, hakisan pantai dan sungai.

Peserta ekskursi Seminar Bencana Alam 2022.

Pengarah NDRC, Prof Madya Ts Gs Dr Carolyn Melissa Payus, berkata penganjuran seminar pada kali ini adalah platform terbaik buat penyelidik muda.

“Seminar kali ini amat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan agensi-agensi kerajaan, badan profesional dan penyelidik dari institusi penyelidikan, malah turut melibatkan pelajar pascasiswazah dari universiti-universiti tempatan,” katanya.

Tambah Carolyn, seminar itu juga mampu menjadi tempat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai pelbagai aspek isu bencana yang berlaku di negara ini.

Katanya, seminar itu adalah medan terbaik untuk membincangkan hasil penyelidikan kepada umum bagi menghadapi isu-isu bencana yang melanda serta memberi ruang kepada penyelidik muda untuk berkongsi dapatan kajian mereka berkaitan isu ini.

Jelasnya, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik di universiti dan masyarakat perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kedayatahanan masyarakat dalam menghadapi bencana alam di negara ini.

Sementara itu, Dekan FSSA, Prof Dr Jualang Azlan Gansau berkata, penganjuran seminar itu amat sesuai dan bertepatan dengan situasi negara dalam menghadapi bencana alam berikutan pengaruh perubahan iklim global, yang memberi kesan signifikan kepada masyarakat terutamanya dalam aspek ekonomi, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan.

“Seminar ini bukan sekadar melihat dapatan kajian, malah ianya penting dalam membuka ruang perbincangan antara peserta dan menghasilkan satu dapatan secara ilmiah dan saintifik yang dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.

Seminar itu turut melakukan ekskursi ke tapak-tapak bencana di sekitar daerah Ranau untuk melihat kesan bencana alam seperti tanah runtuh dan kesan aliran puing selepas tragedi gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|