Ambil dos penggalak segera – Khairy Jamaluddin

Ambil dos penggalak segera – Khairy Jamaluddin

Tawau: Rakyat Sabah digesa supaya segera mengambil dos penggalak sebagai langkah pencegahan meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 apabila pintu sempadan negara dibuka tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sekiranya pintu sempadan negara dibuka, rakyat Sabah mungkin akan menghadapi risiko jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat.

Khairy memalu gong ketika merasmikan program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) sambil diperhatikan Shahelmey (tiga kanan).

Katanya, Sabah dijangka menerima ramai kemasukan rakyat dari luar terutama negara jiran Indonesia dan Filipina.

“Kita andaikan kadar vaksinasi rakyat negara jiran yang berdekatan dengan sempadan Sabah masih kurang disebabkan kawasan itu jauh dari ibu kota mereka.

“Walaupun kerajaan akan menetapkan prosedur yang ketat untuk masuk, tetapi ia masih dianggap risiko kerana orang yang datang tidak diketahui status vaksinasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) 2022, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahhelmey Yahya; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin.

Khairy berkata, KKM sudah menjalankan pelbagai kaedah bagi menggalakkan rakyat di negeri ini mendapatkan dos penggalak dengan mudah.

“Saya sudah meminta Pengarah Kesihatan Sabah untuk terus mengadakan program jangkauan luar dan membuka banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Namun, masih ramai lagi yang enggan mengambil dos penggalak walaupun PPV telah dibuka hampir di setiap kawasan,” katanya.

Katanya, KKM juga sudah mengadakan program kesedaran terutamanya kepada golongan warga emas supaya segera mengambil dos penggalak, memandangkan mereka sangat berisiko jika dijangkiti wabak.

“Saya merayu sesiapa yang mempunyai ibu bapa berumur 60 tahun ke atas supaya bawa mereka mengambil suntikan dos penggalak kerana jika dijangkiti COVID-19 ia tidak boleh dianggap selesema biasa.

“Begitu juga dengan kanak-kanak yang belum diberikan suntikan vaksin supaya segera mendapatkannya kerana sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 boleh membawa kemudaratan masa panjang,” katanya.

Mengulas mengenai program MCSI yang dijalankan di daerah ini pula, Khairy berkata ia adalah inisiatif KKM untuk menyelesaikan masalah pembedahan katarak di Hospital Tawau.

Katanya, KKM sudah membawa seramai 17 pakar oftalmologi untuk menjalankan pembedahan berkenaan bermula hari ini.

“Kita sasarkan sebanyak 200 kes pembedahan katarak dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu, sekali gus mengatasi kes tertunggak di Hospital Tawau,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|