KKM gandakan usaha minta rakyat Sabah ambil dos penggalak

KKM gandakan usaha minta rakyat Sabah ambil dos penggalak

Tawau: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menggandakan usaha untuk memastikan rakyat Sabah tampil menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ia memandangkan Sabah adalah antara negeri yang terendah peratusan menerima suntikan dos penggalak di seluruh negara.

Beliau berkata, antara usaha yang sedang dilakukan ialah bekerjasama dengan majikan untuk memastikan pekerja mereka menerima dos penggalak.

“Usaha kita lebih kepada outreach buat program jangkauan luar dan bekerjasama dengan sektor swasta, contohnya dengan pemilik ladang-ladang besar supaya mereka buat outreach memberi dos penggalak kepada pekerja mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) 2022, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahhelmey Yahya; Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin.

Selain itu, Khairy juga menegaskan warga emas sangat penting untuk mengambil suntikan vaksinasi demi kesihatan mereka.

Katanya, dos penggalak amat penting khasnya kepada golongan warga emas kerana jangkitan Covid-19 boleh membahayakan nyawa mereka.

“Mungkin sekarang ini bagi orang yang sihat yang sudah ambil booster yang belum mencapai umur 60 tahun ke atas dia boleh pulih di rumah, sekarang ini 96 peratus kes boleh pulih di rumah tapi bagi warga emas dia tidak straight forward.

“Ada kemungkinan dia punya kesan Covid-19 itu menyebabkan dia masuk ke hospital, berisiko tinggi sebab itu kesedaran kepada masyarakat umum bahawa ibu bapa, datuk nenek perlu untuk dapatkan booster,” katanya.

Tambahnya, KKM kini juga memberikan suntikan vaksinasi kepada pesakit yang hadir ke hospital atas rawatan penyakit lain sebagai usaha untuk memastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Saya keluarkan kenyataan kepada ketua pengarah membuat arahan kepada semua hospital dan klinik untuk buat yang dikenali sebagai oppurtunity vaccination, maknanya kalau ada orang masuk hospital sebelum dia balik kita bagi vaksin kepada mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|