Acara seni meriahkan Hari Wilayah Persekutuan Labuan 2022

Acara seni meriahkan Hari Wilayah Persekutuan Labuan 2022

Labuan: Persatuan Seni Visual Wilayah Persekutuan Labuan (LAVISTA) akan menganjurkan acara seni visual bagi memeriahkan sambutan Hari Wilayah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini.

Pengerusi LAVISTA, Azize Mohd Yusoph, berkata sepanjang tempoh pandemik COVID-19 hampir dua tahun, LAVISTA sepi daripada penganjuran acara seni di Wilayah Persekutuan Labuan.

Azize Mohd Yusoph

Katanya, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Ferbuari 2022 ini, LAVISTA dengan kerjasama Perbadanan Labuan akan menganjurkan beberapa acara seni sebagai usaha memeriahkan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Beliau berkata, dalam masa yang sama ia bagi mengubat kerinduan seniman dan peminat seni visual di Labuan untuk mempersembahkan karya seni mereka kepada umum.

“Antara acara yang akan dipertandingkan adalah Doodle, Cantan Batik, Cosplay dan Seni Kitar Semula yang bertemakan Keluarga Malaysia selaras dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

“Semua pertandingan akan diadakan secara atas talian, bagaimanapun hasil karya peserta akan dipamerkan kepada umum pada 26 Ferbuari 2022 di Taman Muhibbah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya LAVISTA turut mengundang beberapa orang seniman seni visual seperti Prof Dr Baharudin Mohd Arus, Kartunis Binjai, Pelukis Asmat dan beberapa orang seniman lagi.

Katanya, hadiah wang tunai menanti peserta tempatan sahaja pada tahun ini.

“Mereka yang berminat untuk menyertainya boleh mendapatkan borang dan syarat penyertaan melalui laman Facebook Lavista Artisan Market,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|