Abdul Rahman beri bayangan bertanding PRU-15

Abdul Rahman beri bayangan bertanding PRU-15

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberi bayangan akan bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud turut memberi bayangan akan bertanding semula di Parlimen itu selepas tewas di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU lalu.

“Saya tidak pernah tinggalkan Kota Belud, saya diarahkan oleh parti untuk bertanding di tempat lain walaupun keputusan itu saya bantah tetapi akhirnya keputusan itu tidak membuahkan hasil.

“Saya ada banyak idea yang masih tergendala di Parlimen Kota Belud walaupun tidak menjadi ahli parlimen di kawasan itu, salah satu perkara saya janjikan dulu adalah penubuhan Politeknik Kota Belud.

“Selama lima tahun ini usaha itu terus berjalan dan akhirnya kerajaan telah meluluskan penubuhan politeknik itu,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia (HUMS) di UMS, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan kepada kepimpinan parti untuk menentukan sama ada akan bertanding atau sebaliknya.

“Sama ada saya bertanding atau tidak, bergantung kepada keputusan parti tetapi saya juga telah diberikan beberapa gambaran aspirasi kepimpinan parti untuk saya tawarkan diri menjadi calon Parlimen.

“Saya tidak keberatan untuk tawarkan diri, tetapi yang penting nama saya dalam senarai bersama-sama rakan-rakan lain untuk pastikan Barisan Nasional (BN) mendapat kedudukan yang terbaik dalam PRU nanti,” katanya.

Abdul Rahman yang Ketua Bahagian UMNO Tuaran dalam pada itu turut tidak menolak jika beliau dicalonkan di kerusi Parlimen Tuaran.

“Pada masa yang sama, Tuaran kawasan saya sebagai Ketua Bahagian dan sudah tentu Tuaran satu kawasan dalam kepimpinan UMNO jadi keutamaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|