9 lagi kontraktor ditahan SPRM, kemuka penyata bank palsu

9 lagi kontraktor ditahan SPRM, kemuka penyata bank palsu

Tawau: Sembilan lagi kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan di Semporna.

Sumber berkata, semua suspek berusia 29 hingga 56 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Tawau, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy

“Semua suspek terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki itu melakukan perbuatan itu pada 2017 lalu bagi mendapatkan sebut harga pengurusan kantin membabitkan tempoh selama dua tahun dengan nilai kontrak lebih RM200,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, dalam masa yang terdekat,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, SPRM Sabah menahan seramai 19 kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah.

Penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.

S Karunanithy berkata, SPRM Cawangan Keningau pada Jumaat minggu lalu turut menahan seramai dua kontraktor berusia 25 dan 32 tahun atas kesalahan sama membabitkan nilai kontrak berjumlah kira-kira RM5 juta.

Sementara itu, beliau memberi peringatan kepada semua kontraktor bahawa mengemukakan dokumen palsu adalah satu kesalahan dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|