72 renjer cilik berkhemah di Pulau Manukan

72 renjer cilik berkhemah di Pulau Manukan

Kota Kinabalu: Seramai 72 renjer cilik ‘berkampung’ selama dua hari di Pulau Manukan, di sini, menerusi Program Renjer Muda Taman-Taman Sabah: Penjelajahan Lautan yang bermula semalam.

Program anjuran Taman-Taman Sabah itu membabitkan sebanyak 15 sekolah dari beberapa daerah termasuk kawasan pedalaman serta tanah tinggi Kundasang.

Muhammad Alif Syadwan Mohd Fadzlee

Menurut peserta termuda, Muhammad Alif Syadwan Mohd Fadzlee, 8, sebelum ini dia hanya melihat di televisyen atau mempelajari mengenai hidupan laut melalui buku teks di sekolah.

“Tetapi dalam perkhemahan ini kami melihat sendiri terumbu karang melalui aktiviti ‘snorkeling’ dan melihat sendiri ikan yang hidup di lautan,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini, semalam.

Muhammad Hafii Hamka

Muhammad Alif yang bersekolah di SK Kampung Brunei, Membakut, mengakui ini adalah pengalaman pertamanya menyertai perkhemahan yang bukan saja di luar sekolah tetapi juga di luar daerahnya.

Seorang lagi peserta dari SK Kundasang, Muhammad Hafii Hamka, 12, berkata, walaupun sudah biasa menyertai program perkhemahan di sekolah tetapi ini adalah pengalaman pertama dibawa ke kawasan pulau di Kota Kinabalu.

Antara aktiviti disertai peserta terdiri daripada murid sekolah rendah di Pulau Manukan, Kota Kinabalu.

“Perjalanan dari Kundasang ke Kota Kinabalu yang memakan masa sehingga lima jam berbaloi kerana kami dapat melihat keindahan pulau dan ia berbeza dengan persekitaran tempat tinggal kami di kawasan tanah tinggi.

“Pertama kali juga saya dapat melihat ikan besar yang hidup jadi memang seronok,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan persekitaran daerahnya, Muhammad Hafii berkata, pemandangan tanaman sayur-sayuran dan gunung adalah biasa baginya namun pemandangan lautan luas serta hidupan laut amat berbeza baginya.

“Berbeza di sini, selain dibawa meredah laut, kami juga dibawa melawat kawasan paya bakau dan saya boleh lihat sendiri ketam hidup di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Peter Lintas berkata, program itu adalah yang kedua dilaksanakan secara fizikal oleh TTS.

“Murid yang menyertai program ini ada yang datang dari kawasan berbukit, sungai dan laut berikutan keadaan bentuk muka bumi kita di Sabah.

“Jadi saya percaya ini sebagai peluang yang baik untuk mereka kerana ada antara murid-murid ini yang belum pernah menyentuh air laut pun apatah lagi melihat ke dasar laut biarpun mereka sudah mencapai di Tahun Empat, Tahun Lima atau Tahun Enam di sekolah.

“Secara tidak langsung, melalui program ini ilmu mengenai alam sekitar dapat disebarkan kepada semua lapisan murid bukan saja yang tinggal di kawasan laut tetapi juga mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya yang merasmikan program itu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan, Operasi dan Perhubungan Antarabangsa) Ludi Apin bagi mewakili Pengarah Taman-Taman Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|