Letusan gunung berapi lumpur bukan petanda bencana

Letusan gunung berapi lumpur bukan petanda bencana

Kota Kinabalu: Fenomena letusan gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Ahad lalu bukan petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku dalam masa terdekat di Sabah.

Perkara itu dijelaskan dua Felo Penyelidik Geologi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Hardianshah Saleh dan Prof Dr Baba Musta sebagai menjawab pelbagai pertanyaan awam berhubung fenomena itu.

Dr Hardianshah Saleh

Menerusi satu kenyataan hari ini, mereka berkata letusan gunung berapi lumpur atau volkano lumpur adalah fenomena yang biasa berlaku di Sabah dan kewujudannya boleh ditemui di beberapa kawasan di negeri ini.

“Namun, apa yang lebih penting adalah, fenomena volkano lumpur bukanlah suatu petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku pada masa terdekat,” katanya.

Prof Dr Baba Musta

Berdasarkan peta lokasi volkano lumpur yang dikongsikan NDRC, selain di Tabin, Lahad Datu, kewujudan gunung berapi lumpur juga ditemui di Sandakan dan Kunak di pantai timur, manakala di daerah Kuala Penyu bagi kawasan pantai barat.

Secara geologinya, kedua-dua penyelidik itu menjelaskan volkano lumpur bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi.

Peta taburan gunung berapi lumpur atau volkano lumpur di Sabah

“Walaupun istilah ‘volkano’ secara terjemahannya adalah letusan gunung berapi, namun volkano lumpur ini jauh sekali daripada memuntahkan bahan cairan lava seperti letusan gunung berapi yang umum ketahui.

“Volkano lumpur hanya ‘meminjam’ istilah volkano untuk menjelaskan mekanisme bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk keluar ke permukaan,” katanya.

Jelas mereka, tekanan beban atas (overburden pressure) terhadap lapisan yang kaya dengan bahan lumpur yang terbentuk jauh di bawah pemukaan tanah, menekan dan memaksa bahan lumpur dalam bentuk cecair bersama gas metana keluar ke permukaan menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan.

Bagi kawasan Lahad Datu, katanya zon sesar atau lemah terdiri daripada batuan hancur atau istilah geologinya dikenali sebagai melange.

“Fenomena ini juga seringkali dirujuk sebagai diapir lumpur (Mud diapir) yang mempunyai mekanisme sama namun tidak memuntahkan lumpur sehingga ke permukaan (Rujuk Rajah 1),” katanya.

Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Prof Madya Dr Carolyn Melissa Payus, berkata penerangan yang lebih jelas dan saintifik mengenai fenomena itu penting, terutama daripada Pusat Penyelidikan seperti NDRC agar tidak menimbulkan kebimbangan pihak awam.

Katanya, Pusat Penyelidikan NDRC, UMS, memang giat dalam keterlibatsamaan bagi memberikan pendidikan awam, termasuk selepas bencana gempa yang melanda Sabah pada 2015.

“NDRC bukan setakat sebagai pusat rujukan untuk orang awam, tetapi juga sebagai focal point untuk penyelidikan yang berkait dengan Sains Alam Sekitar dan Bencana serta Pengurusannya, terutamanya di negeri Sabah,” katanya.

Klip video letusan gunung berapi lumpur di Tabin, Lahad Datu yang tular di laman sosial beberapa hari lalu sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum.

Ramai warga maya yang beranggapan fenomena itu berkait secara langsung dengan letusan gunung berapi yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.

Tidak kurang juga yang mengaitkan fenomena itu dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di beberapa rantau lain di luar negara.

Malah, istilah ‘letusan gunung berapi lumpur’ yang selalunya diberikan kepada fenomena volkano lumpur memberi konotasi yang menggerunkan, lebih-lebih lagi istilah ‘gunung berapi’ yang digunakan itu boleh menimbulkan rasa cemas kepada orang awam yang tidak mengetahui mekanisme pembentukan volkano lumpur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|