Tiada lagi ‘letusan’ di gunung berapi lumpur Tabin

Tiada lagi ‘letusan’ di gunung berapi lumpur Tabin

Lahad Datu: Muntahan lumpur di kawasan gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, dekat sini, sudah berhenti dan tiada aliran yang berlaku di kawasan berkenaan.

Perkara itu disahkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang membuat tinjauan di lokasi bersama pegawai dari Jabatan Perhutanan Lahad Datu dan Jabatan Mineral Geosains (JMG) Kota Kinabalu semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid bagaimanapun berkata, orang ramai masih tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sebagai langkah keselamatan berikutan keadaan lumpur yang masih lembut didalamnya.

“Hasil pemerhatian mendapati tiada lagi pergerakan yang berlaku di kawasan muntahan lumpur itu. Namun terdapat risiko orang akan terperangkap atau melekat dalam lumpur berikutan keadaan lumpur yang masih lembut di dalamnya.

“Oleh itu, orang ramai masih tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sebagai langkah keselamatan menerusi tindakan penguatkuasan daripada Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya bagi mengulas hasil tinjauan di lokasi berkenaan.

Tinjauan itu berikutan video letusan gunung berapi lumpur yang tular di media sosial sejak malam Ahad lalu.

Beliau turut berkata, pihak JMG yang turut di lokasi memaklumkan bahawa kejadian itu pernah direkodkan berlaku pada 2015 dan April 2019.

“Muntahan lumpur yang berlaku itu pernah berlaku di tempat yang sama dan pada kali ini merupakan yang terbesar berbanding sebelum ini.

“Pihak GMS turut mengambil sampel dan data penting untuk digunakan dalam kajian berkenaan,” katanya.

Pada Ahad lalu, berlaku kejadian letusan gunung berapi lumpur di kawasan berkenaan sebelum video mengenainya ditularkan di media sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|