50 penuntut UMS sertai sukan memanah tradisional

50 penuntut UMS sertai sukan memanah tradisional

Kota Kinabalu: Seramai 50 orang penuntut jurusan Ijazah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Pengenalan Memanah Tradisional yang dikendalikan Rawja Archery dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, hari ini.

Program Pengenalan Memanah Tradisional itu adalah salah satu pengisian aktiviti sempena program Perkhemahan Sukan Rekreasi ‘Conquer The Nature’ 2.0.

Md Suhaimi memberi taklimat mengenai memanah tradisional pada Program Pengenalan Memanah Tradisional di Arena Memanah Tradisional Pantai UMS.

Presiden Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, Md Suhaimi Sapiee berkata, antara perkara yang diperkenalkan dalam program terbabit adalah pengenalan dan asas mengenai memanah tradisional, pengenalan peralatan memanah tradisional, tatacara keselamatan ketika memanah, adab dan sunnah memanah tradisional serta kepelbagaian jenis posisi dalam memanah tradisional.

Katanya, program itu juga sebagai pembuka tirai pengoperasian semula Arena Memanah Tradisional Pantai UMS selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah beralih kepada Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa 4.

Antara pelajar yang menyertai Program Pengenalan Memanah Tradisional di Arena Memanah Tradisional Pantai UMS.

“Pengisian aktiviti hari ini dimulakan dengan taklimat mengenai pengenalan memanah tradisional kemudian diteruskan dengan aktiviti praktikal memanah khusus berdasarkan silibus memanah yang dirangka Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu dan juga pertandingan di kalangan pelajar.

“Seramai 10 jurulatih terdiri daripada pemanah tradisional Sabah yang berpengalaman membantu dalam membimbing golongan pelajar terbabit dalam program ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Md Suhaimi yang juga Presiden Persatuan Memanah Tradisional Daerah Kota Kinabalu turut berkata, program itu juga adalah salah satu langkah dalam usaha mencari dan mengilap bakat baru khususnya golongan belia di Sabah.

“Ini juga salah satu usaha untuk pihak kita melahirkan lebih ramai atlet pemanah tradisional di Sabah untuk bertanding ke peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Berikutan Arena Memanah Tradisional Pantai UMS ini juga satu-satunya tempat belajar memanah tradisional di Malaysia yang dibuat khusus di dalam institut pengajiaan tinggi awam, ini akan menjadi platform utama kita melahirkan lebih ramai pemanah tradisional.

“Selain itu, kita juga tekad untuk memperkenalkan dan mengajar ilmu memanah tradisional ini kepada orang awam bagi mengelakkan isu segelintir individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti memanah tanpa berguru sehingga mendatangkan masalah berkaitan keselamatan awam,” katanya.

Penuntut UMS, Mohd Fadhil Awang Abdul Muthalif, 22, menganggap memanah tradisional adalah sukan yang mudah sebelum menyertainya hari ini.

“Pada mulanya saya anggap memanah tradisional semudah menarik tali busur dan anak panah tetapi apabila saya merasai sendiri pengalaman memanah, sangkaan saya jauh meleset.

“Memanah tradisional bukan perkara mudah namun pada masa sama saya berasa seronok dan ingin mencuba lagi,” katanya yang sedang menuntut di tahun kedua bagi Ijazah Sains Sukan di universiti itu.

Seorang lagi penuntit Ijazah Sains Sukan UMS, Manisah Awang Kechil, 23, turut mempunyai pandangan sama.

“Kalau saya menonton siaran langsung sukan memanah, saya anggap ia mudah namun selepas menyertai program ini, saya akhirnya sedar sukan ini memerlukan kita berguru dengan jurulatih dan juga berlatih.

“Saya sangat teruja dan berharap aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

“Malah, semua jurulatih yang membantu kami dalam program hari ini, saya lihat mereka seakan-akan seorang perwira terutamanya apabila ketika mereka menunjukkan contoh secara praktikal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|