29 pemain baharu diserap dalam skuad Piala Presiden Sabah FC

29 pemain baharu diserap dalam skuad Piala Presiden Sabah FC

Kota Kinabalu: Seramai 29 pemain baharu diserap ke dalam pasukan Piala Presiden Sabah FC pada tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan, berkata sebelum ini seramai 63 pemain dikenal pasti diserap dalam senarai akhir hasil pemilihan dan usaha berterusan dilakukan Ketua Jurulatih, Jelius Ating sambil dibantu penolongnya, Burhan Ajui.

“Kita telah memilih seramai 29 pemain yang dilakukan melalui proses pemilihan manakala satu lagi slot bakal diisi Azhad Harraz Arman daripada pasukan senior Sabah FC.

“Meskipun latihan baru sahaja dijalankan tidak sampai seminggu selain masih dalam proses pemilihan kesebelasan utama kita berjaya seri 2-2 dengan kelab Kinabalu Jaguar FC,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan sebagai Ketua Panel Pemilih dan Pencari Bakat Sabah FC, Jelani yakin pelantikannya mampu memantapkan proses pemilihan pemain bermula dari peringkat akar umbi.

Katanya, Matlan yang juga bekas pemain kebangsaan dilantik mengetuai panel pemilih selama setahun berkuatkuasa pda 1 Oktober 2021.

“Kita yakin dengan pelantikan Matlan ini akan dapat membantu Sabah FC untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan anak-anak muda untuk digilap menjadi pelapis pemain senior pada masa depan,” katanya.

Pelantikan Matlan yang dibantu ikon muda bola sepak Sabah, Rozaimi Abdul Rahman diberi peranan mencari pemain berkebolehan untuk memantapkan lagi pasukan bola sepak negeri.

Mengulas mengenai Rozaimi pula, Jelani yang juga Pengarah Sabah FC, berkata kehadiran pemain berbakat itu disasar menggamit lebih ramai bakat anak muda tempatan untuk mengikut jejak langkahnya selaku ‘role model’ bola sepak Sabah.

“Rozaimi adalah ikon bola sepak Sabah dengan pelbagai pencapaian di peringkat kebangsaan termasuk pernah bermain bersama kelab ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Selangor dan beberapa kelab lain di negara ini.

“Beliau dilantik sebagai Penolong Ketua Panel Pemilih dan Pencari Bakat Sabah FC bagi membantu Matlan serta barisan kejurulatihan skuad bawah 21 Sabah FC.

“Rozaimi sudah boleh dijadikan ‘role model’ kepada anak-anak muda Sabah berikutan pencapaian dan kepakaran tersendiri dalam permainan bola sepak,” katanya.

Jelani berkata, gandingan Matlan dan Rozaimi sambil dibantu barisan kejurulatihan skuad Piala Presiden dijangka mampu melahirkan lebih ramai bakat muda sekali gus memantapkan pasukan bawah 21 tahun Sabah FC

“Kedua-dua mereka adalah ikon yang mampu melonjakkan semangat kepada anak muda untuk menonjol dalam bola sepak Sabah sejajar status mereka yang dianggap sebagai legenda bola sepak negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|