44 TASKA ditutup sejak penularan HFMD di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 44 daripada 7,658 premis Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ditutup sejak penularan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 4,604 kes dengan 91 peratus daripadanya membabitkan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Shahelmey menerima cenderamata daripada ahli PAWE pada Program Juara Suara Emas PAWE 2022 di Kota Kinabalu.

“JKNS memantau dari semasa ke semasa dan setakat yang saya dimaklumkan, sebanyak 7,658 premis telah diperiksa dan setakat hari ini sebanyak 44 premis telah diarah tutup sementara untuk menjalankan aktiviti pembersihan.

“Sempena pembukaan sesi persekolahan Isnin ini, bagi premis yang telah diperiksa dan disahkan selamat, mereka dibenarkan untuk membuka semula premis mereka.

“Tetapi bagi yang diarah tutup, mereka hanya boleh membuka premis setelah JKNS berpuas hati dengan tahap kebersihan premis,” katanya selepas merasmikan Program Juara Suara Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) 2022, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung saranan penutupan TASKA susulan Sabah masih mencatat kes HFMD yang tinggi ketika ini.

Shahelmey dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa berpesan kepada anak mereka untuk menjaga kebersihan ketika berada di sekolah.

“Kita juga meminta kerjasama daripada guru-guru sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya memberi kerjasama dan peka dengan perkembangan kes ini.

“Di peringkat tadika pula, pastikan dari semasa ke semasa premis dalam keadaan bersih dan terus asingkan segera sekiranya ada murid atau anak asuhan yang mempunyai gejala supaya tidak berjangkit,” katanya.

Sebelum ini, JKNS melaporkan kes HFMD di Sabah menunjukkan penurunan pada minggu epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin memaklumkan sebanyak 528 kes HFMD dilaporkan pada minggu berkenaan, iaitu turun sebanyak 27.17 peratus berbanding 725 kes pada minggu epidemiologi ke-21.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|