Pantau udara ESSCOM kekang aktiviti jenayah

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bersiap sedia mengekang aktiviti jenayah termasuk memperketatkan pemantauan udara di perairan negara.

Ketua Staff Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, ia amat penting bagi memberi gambaran kehadiran pasukan keselamatan sepanjang masa.

Operasi melalui udara dilakukan setiap hari oleh pasukan keselamatan.

Katanya, kehadiran aset pemantau di udara juga memberi petunjuk pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk berdepan sebarang pencerobohan ataupun aktiviti jenayah.

“Operasi melalui udara dilakukan setiap hari oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bergilir-gilir.

“Kita perhatikan pemantauan udara yang kerap dilakukan oleh pasukan ESSCOM dapat mengurangkan aktiviti mencurigakan terutamanya daripada sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan Op Maritim Khas Selatan melalui udara di sekitar perairan Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan sempadan negara, semalam.

Dalam pada itu, Che Engku Suhaimi berkata, Op Maritim Khas Selatan yang dilakukan selama dua minggu itu memberi tumpuan kepada pencerobohan pendatang tanpa izin (PTI), penyeludupan dan kontraban.

“Semua agensi dan aset dibawah ESSCOM bergabung tenaga menjayakan operasi ini yang dilakukan di sekitar perairan negara termasuk di daerah Tawau.

“Kita juga mendapati pergerakan bot yang lalu lalang di perairan Tawau sudah terkawal dan ia adalah kejayaan yang diharapkan dalam operasi tersebut,” katanya.

Menurutnya, melalui pemantauan serta operasi secara agresif yang dilakukan sehingga perairan Sandakan dan menghala persempadanan negara juga sangat positif dan menunjukkan perubahan.

“Banyak pondohan-pondohan haram yang kita sasarkan selama ini sudah berkurangan dan itu antara kejayaan setiap operasi yang dilakukan oleh ESSCOM,” katanya.

Che Engku Suhaimi berkata, semua masyarakat terutamanya yang tinggal Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dapat berganding bahu bagi memastikan kedaulatan negara terjaga.

“Pasukan keselamatan dan komuniti di perairan Sabah perlu bekerjasama bagi membendung masalah jenayah di perairan negara.

“Masyarakat diminta untuk melaporkan segera kepada pasukan keselamatan sekiranya mempunyai maklumat atau mengetahui aktiviti jenayah di sekitar mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|