387 PATI warga Filipina dihantar pulang

Sandakan: Seramai 387 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka dalam Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 18, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, PATI yang terbabit dalam program pemindahan ini dari Depot Imigresen Tawau.

Katanya, semua tahanan dipindahkan dengan menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Pecahan tahanan yang dipindahkan adalah terdiri daripada 372 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa dan seorang tahanan kanak-kanak lelaki berusia di bawah 12 tahun.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen adalah PATI yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Tahanan Imigresen di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|