PRU15: Jamawi berazam laksanakan agenda tergendala

Kota Kinabalu: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar memegang azam untuk melaksanakan pelbagai agenda yang tergendala.

Calon berusia 48 tahun itu berkata, beliau bersyukur kerana terpilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berjanji akan memikul amanah itu dengan sebaiknya.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan kepimpinan tertinggi BN, khususnya kepada Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meletakan kepercayaan memilih saya sebagai calon di kawasan Parlimen Tenom.

“Ini merupakan satu amanah serta tanggungjawab besar yang perlu saya galas bagi memastikan Parlimen Tenom menjadi salah satu penyumbang kemenangan BN bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon GRS-BN di Magellan Ballroom, semalam.

Pengumuman calon-calon yang bakal bertanding pada PRU15 akan datang masing-masing diumumkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ketika ditanya mengenai peluang beliau pada PRU kali ini, Jamawi yang juga bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Tenom berkata, beliau yakin dengan pengalamannya itu.

Menurutnya, beliau sering turun padang untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk kebajikan, sekali gus menjadikan Tenom yang merangkumi dua kawasan DUN Kemabong dan Melalap, sebagai kawasan yang tidak asing bagi beliau.

“Pengalaman ini mendekatkan saya dengan kehidupan rakyat di kawasan ini bagi memahami aspirasi mereka terutamanya dalam aspek pembangunan.

“Tugas untuk menyantuni masyarakat termasuk golongan muda dan kebajikan terus saya laksanakan walaupun tanpa jawatan dalam politik selepas menjadi ADUN Kemabong,” katanya.

Menurut Jamawi, apabila berlaku ketidakstabilan politik di negeri ini, sebahagian daripada perancangan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan tersebut tergendala.

Justeru, sekiranya mendapat mandat dari rakyat di kawasan tersebut pada PRU kali ini, segala agenda pembangunan yang dirancang dan tergendala sebelum ini akan diteruskan.

“Kawasan ini sememangnya berpotensi besar untuk dibangunkan dan dimajukan, terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan.

“Tumpuan akan saya berikan kepada sektor ini disamping memastikan segala kemudahan infrastrukur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kebajikan kesihatan dan lain lain akan diberi perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga Bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia berkata, dalam Bajet 2023 Sabah menerima peruntukan RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur, di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa ia akan diteruskan sekiranya BN dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Bagi menjamin pembangunan dan kemakmuran di negeri ini berterusan, amat penting bagi rakyat di negeri ini khususnya di Tenom dalam PRU kali ini memberikan sokongan padu kepada BN.

“Ini agar apa yang dirancang dan telah dibentangkan dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakankan, jika rakyat tersalah pilih kerajaan sudah tentu perancangan yang baik ini, segala dasar dan pendekatan akan berubah yang akhirnya membawa kerugian kepada rakyat khususnya di Sabah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|