247 mangsa banjir Kota Marudu dan Pitas terima bantuan daripada PM, Hajiji

247 mangsa banjir Kota Marudu dan Pitas terima bantuan daripada PM, Hajiji

Kota Marudu: Seramai 247 mangsa banjir di daerah ini dan Pitas menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bakul makanan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 206 mangsa banjir adalah di Kota Marudu, manakala baki seramai 41 orang lagi di Pitas.

Ismail Sabri (kiri) disambut Hajiji setibanya di Terminal 2 KKIA untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kota Marudu dan Pitas.

Selain BWI dan bakul makanan, seramai enam ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Kota Marudu turut menerima Bantuan Barang Keperluan Asas, Baucar Diskaun Pembelian Barangan Elektrik dan Baucar Pembaikan Kenderaan.

Di Pitas pula, enam KIR turut menerima Bantuan Keperluan Asas, Pembaikan Kecil Rumah dan Baucar Pembelian Barangan Elektrik.

Ismail Sabri menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir sambil disaksikan Hajiji.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi sebelum ke Kota Marudu dan Pitas dengan menaiki helikopter khas.

Sejurus tiba di Kota Kinabalu, Ismail Sabri turut mendengar taklimat berkaitan banjir daripada Safar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|